Monday, January 27, 2014

WANG ANDA: MASA untuk ANDA jadi KAYA!

"Masa" memainkan peranan yang amat penting dalam mengumpul dan mengembangkan wang kita. Lebih banyak masa yang kita ada, lebih besar wang dapat mengembang. Ertinya, lebih awal anda sedar dan ambil tindakan memperbaiki keadaan kewangan anda, maka lebih banyak masa untuk wang anda bertambah dan terus bertambah.

Mari kita lihat dua beradik kembar Lili dan Didi. Lili berumur 25 tahun dan merupakan pembaca tegar Majalah Metro, ruang WANG ANDA. Lili sedar betapa pentingnya menjaga kewangan dan mula menyimpan pada usia yang muda. Setiap bulan tanpa terlepas, Lili menyimpan dan melabur RM400 ke akaun pelaburan yang memberi pulangan pelaburan 12% setahun. Sekiranya kita melihat 20 tahun akan datang,  simpanan Lili dalam akaun pelaburannya telah menjadi RM345,800. Ketika itu, Lili berumur 45 tahun.

Didi pula, agak terlewat menyedari tentang pentingnya menjaga kewangan. Didi hanya mula menyimpan dan melabur ketika berumur 30 tahun- lewat 5 tahun selepas Lili. Oleh kerana pendapatan Didi tinggi sedikit, Didi boleh menyimpan RM700 setiap bulan dan dilaburkan pada akaun pelaburan yang sama memberi 12% pulangan pelaburan. Apabila Didi mencapai umur 45 tahun, jumlah simpanan Didi telah menjadi RM313,100.

Adakah anda dapat lihat perbezaannya? Walaupun Lili menyimpan hanya RM400 sebulan, manakala kembarnya Didi menyimpan RM700 sebulan, oleh kerana Lili mula menyimpan 5 tahun lebih awal, jumlah yang dimiliki adalah lebih tinggi lagi apabila keduanya berumur 45 tahun walaupun simpanan bulanannya adalah jauh kurang.


Masa memainkan peranan yang amat penting dalam pulangan pelaburan. Lebih lama wang disimpan dan dibiarkan mengembang oleh pulangan pelaburan, kenaikannya akan menjadi mendadak. Konsep ini dikenali sebagai pulangan kompaun (compound returns).

Pastinya anda pernah dengar istilah "yang kaya semakin kaya" bukan? Antara sebabnya adalah, mereka yang kaya, faham tentang konsep pulangan kompaun ini. Sekiranya sejumlah wang dilaburkan pada pulangan 10% setahun, dan jangan diusik selama 7 tahun, wang tersebut akan berganda dua! Ertinya, sekiranya seorang jutawan memiliki RM1,000,000 yang tidak disentuh, dan diberi pulangan pelaburan 10% setahun selama 7 tahun. Wangnya akan menjadi RM2,000,000- tanpa perlu melakukan apa kerja sekali pun!

Tidak kira, jutawan atau tidak, pulangan kompaun ini akan terjadi pada sesiapa sahaja yang memahaminya. Dan lebih banyak masa yang diberikan, lebih besar wang kita akan berkembang. Lebih awal anda menyedari hakikat ini, maka, lebih baik untuk anda mulakan sekarang!

-Admin ExtremeRich Club @ Bob2e

Kuala Lumpur

Bujang takde duit!

Sekiranya anda bujang, dan sedang membaca tulisan saya kali ini, peluangnya adalah keadaan kewangan anda bukanlah pada tahap yang terbaik. Ini kerana, rata-rata bujang masih belum meletakkan soal kewangan sebagai prioriti dalam hidup. Saya tahu kerana dalam ceramah kekayaan saya serata Malaysia, bila di tanya pada peserta-peserta bujang, siapa yang sudah berpuas hati dengan keadaan kewangan mereka, tiada satu pun yang angkat tangan mengakui. Rata-ratanya masih fikirkan bahawa terdapat banyak lagi masa untuk mengumpul kekayaan, oleh sebab itu ketika bujang, ianya bukan kepentingan.

Hari ini, dengan keadaan pasaran kerja yang kurang memuaskan dari segi pulangan, harga rumah yang semakin tinggi, kos gaya hidup yang kian meningkat, mungkin juga bayaran pelajaran PTPTN yang perlu dilangsaikan, memberi duit bulanan kepada ibu bapa, serta yang terbelanja menggunakan kad kredit yang tiap bulan perlu dibayar, sedar-sedar hujung bulan yang tinggal ciput sahaja. Itu pun kalau ada untuk tabung berkahwin kelak.

Masa memainkan peranan yang penting dalam menggandakan kewangan kita melalui pelaburan. Saya telah kongsikan beberapa minggu lalu mengenai pulangan kompaun (compound interest)dan Pemurataan Kos Ringgit (Ringgit Cost Averaging) yang menggunakan "masa" sebagai elemen amat penting dalam menambahkan pulangan melalui pelaburan.



Tetapi, bukan itu sahaja, masa juga adalah amat penting terutamanya ketika bujang inilah anda mempunyai banyak masa untuk mendalami ilmu kewangan. Waktu ini juga, anda mempunyai banyak masa untuk belajar dari sebarang kesilapan kewangan.

Juga, waktu muda dan bujang adalah waktu anda penuh dengan semangat, cita-cita dan tenaga untuk melakukan sesuatu yang baru dan luar biasa  mencari pengalaman kerja ataupun pengalaman memulakan perniagaan.

Jangan tunggu apabila sudah berkahwin baru mahu memikul tanggungjawab, oleh kerana tabiat lama pasti akan diulangi. Tanam tabiat berjimat cermat dan mengambil endah soal kewangan ketika bujang. Letakkan matlamat untuk beli kereta, rumah dan mendirikan rumah tangga (mengikut turutan itu!) dan meringankan segala bebanan hutang sebelum memasuki alam berkeluarga. Ini kerana, apabila berkeluarga, masalah kewangan lain pula akan timbul.

>> http://bit.ly/kaya2e

Dua perkara yang amat penting dilakukan sekarang adalah, pertama, tambahkan pengetahuan, skil dan juga pengalaman dalam bidang kerja anda. Kedua, sekiranya anda beminat untuk memulakan perniagaan, pelajari selok belok berniaga dan mulakan perinagaan kecil-kecilan dari sekarang. Dalam industri kerja dan juga berniaga, skil dan pengalaman akan menambahkan pendapatan kita. Ketika bujang ini, gunakan masa tersebut untuk siap sediakan diri menjana pendapatan yang lebih apabila berkeluarga kelak!


Ikhlas dari,

-Admin ExtremeRich Club @ Bob2e
Kuala Lumpur